Sunday, July 27, 2008

Bersalam di angkasa - Haziq antara penerjun payung terjun termuda dunia.

PEMENANG tujuh kali kejohanan lumba basikal Tour de France, Lance Amstrong, begitu dikagumi penerjun termuda negara, Haziq Azlan.

“Walaupun menghidap kanser, dia mencipta nama yang sukar dipadamkan. Malulah kita jika tidak menjadi lebih baik atau ibarat manusia yang menunggu mati,” bicara Haziq, kini 20 tahun.

Haziq melakukan penerjunan pertamanya dari ketinggian 1,200 meter pada usia 13 tahun, iaitu semasa Amstrong mencapai kemuncak kerjayanya.
Sehingga kini penuntut Jurusan Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah ini telah membuat penerjunan sebanyak 170 kali.

“Semasa berusia lima tahun lagi saya sering mengikuti ayah memberi sesi penerangan kepada ahli Kelab Payung Terjun Wilayah Persekutuan.

Akhirnya pada 22 September 2002, Haziq melakukan penerjunan pertamanya di Segamat, Johor. Pada masa itu dia baru berumur 13 tahun.

“Perasaan ketika itu ibarat teruna bertemu dara impian,” katanya ketawa.

Terjunan itu dilakukan dari sebuah pesawat RC Cessna 206 pada ketinggian 1,219 meter. “Semasa ketinggian 305 meter, baru payung terjun saya terbuka.

“Semuanya berlaku kurang dari empat minit. Sebahagian besar penerjun terjun sekali saja dalam hidup mereka kerana takut, tapi saya seperti ketagih dan melakukannya berkali-kali sampai orang kata saya gila,” cerita peminat sukan basikal dan mendaki bukit ini.

Menurut Haziq, dia berasa seperti burung yang terbang setiap kali melakukan terjunan. Kehijauan bumi juga begitu menggodanya.

Berbekalkan baju terjun berwarna merah dan hijau pemberian bapanya, sukan ini telah membawanya menjelajah hingga ke Arab Saudi malah Kutub Utara.

“Pengalaman mengikuti pasukan negara semasa Pertandingan Payung Terjun Antarabangsa Arab Saudi 2004 tidak dapat saya lupakan. Ketika itu saya berumur 15 tahun.

Di sebalik tubuhnya yang kecil - dia kini mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berat 70 kilogram, Haziq ternyata ‘nakal’ di udara.

Dia gemar membuat aksi seperti duduk, menjunamkan kepala, berpusing dan kadang-kadang bersalaman dengan penerjun lain.

Menurut Haziq, dua perkara yang mesti dilakukannya ketika bersedia untuk terjun ialah membaca Bismillah dan mengucap dua kalimah syahadah.
“Waktu itu Tuhan, ayah dan keluarga saja yang bermain di fikiran.”

Sejarah payung terjun di Malaysia dimulakan oleh pasukan gerak khas tentera pada tahun 1979.
“Kapten Muid yang bersara daripada pasukan terbabit menubuhkan Kesatuan Payung Terjun Malaysia,” kata bapa Haziq, Azlan Ismail, 56. Azlan menubuhkan Kelab Payung Terjun Wilayah Persekutuan pada tahun 1980.

“Semasa ia ditubuhkan, cuma tujuh orang mendaftar termasuk dua wanita,” ujar Azlan teruja.

Azlan sempat menceritakan pengalamannya membuat penerjunan bersama rakan kelabnya untuk perasmian Sukan Komanwel di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tahun 1998.

“Ramai orang putih menyatakan kami gila kerana saiz medan pendaratan yang kecil.

“Namun syukur saya berjaya melakukannya. Mereka yang mengkritik terkejut besar dan terus mengucapkan tahniah,” katanya.

*kat atas awan pun boleh bersalaman rupenya yer. . .hebatkan HazIQ!!!
klu kos main payung terjun nie murah. . .
mesti ramai orang kita nak join :>

No comments: